Polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki kononnya dia dipukul beberapa anggota polis di balai Dataran Sunway pada Sabtu lepas menyebabkan kedua-dua matanya lebam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh Chua Buang Hing, 34, yang turut mendakwa dia ditumbuk oleh tiga anggota polis lain sebelum itu.
Chua memberitahu pemberita hari ini bahawa pada 11 malam Sabtu lepas, beberapa anggota polis yang sedang mengadakan sekatan jalan raya di Petaling Jaya Utara telah menahan keretanya kerana tidak mempamerkan cukai jalan.
“Saya telah akui kesilapan saya kerana tidak menampal cukai jalan yang baru dihidupkan dan rela disaman. Saya terkejut seorang anggota polis itu terus menyeluk poket saya yang mengandungi RM7,000 dan meminta wang saya, namun saya tidak mahu memberi dan ini membuat dia marah. Tiga daripada mereka kemudian menumbuk muka dan mata saya serta menggari saya,” katanya.
Chua, yang juga pengerusi sebuah tokong, berkata dia kemudiannya dibawa ke Balai Polis Dataran Sunway dan di situ, dia mendakwa dipukul, ditendang dan dipijak oleh tujuh anggota polis sehingga dia muntah darah, selain cedera di lengan kanan dan kiri.
“Mereka kemudian memaksa saya supaya membuat laporan polis mengaku bahawa kecederaan saya adalah akibat kemalangan jalan raya. Jika saya bersetuju, barulah mereka akan bebaskan saya,” katanya.
Chua berkata dia kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan sebelum dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk direman dan dilepaskan pada Rabu lepas.
No comments:
Post a Comment