Kebelakangan ini ada banyak kegilaan yang sedang melanda BN. Perkasa sebuah pertubuhan NGO yang condong ke Umno dengan kongres ekonominya yang baru selesai telah membantah pelbagai polisi baru di bawah Model Ekonomi Baru pentadbiran Najib.
Perkasa di dalam kongres ekonominya juga mendesak pentadbiran Umno di bawah Najib Razak agar terus mengamalkan dasar-dasar yang berunsurkan perkauman.
Sementara itu, di dalam MIC pula, pemberontakan di kalangan ahli-ahlinya telah mula menampakkan kesannya terhadap presiden parti Datuk Seri S.Samy Vellu. Beliau yang belum pernah mengalami tekanan sedemikian kini telah merasai bahang penentangan terhadapnya, yang paling terbaru setiausaha-agung parti Murugesan yang dianggap pengikut setianya turut mengkritik cara beliau menangani masalah tersebut.
Di dalam hal perjudian pula, adalah amat mengejutkan bahawa Umno yang selama ini memperjuangkan dasar keIslaman ke atas negara ini dengan tiba-tiba tampil ke hadapan untuk menyokong lesen perjudian bolasepak diluluskan. Apa agaknya agenda ini? Mungkinkah ramai di kalangan pemimpin Umno yang gemar bertaruh wang di dalam perlawanan bolasepak piala dunia?
Dan di dalam kegembiraan Umno menyokong perjudian tersebut, sebuah lagi parti komponen BN iaitu Gerakan tiba-tiba mengemukakan bantahannya terhadap kelulusan lesen perjudian bolasepak. Jadi apakah agaknya Umno akan berkata?
Di sebelah PPP pula, presiden partinya Datuk M.Kayveas baru-baru ini telah mengumumkan kemasukan seorang bekas calon bebas yang bernama Kamarul ke PPP dan terus melantik beliau untuk menerajui sebuah bahagian PPP di Perak. Di dalam sidang akhbar yang sama, Kayveas juga turut mengumumkan bahawa Kamarul juga dijangka akan dilantik sebagai ketua perhubungan PPP negeri Perak bagi menggantikan pemimpin negeri sekarang Datuk Lee Heng.
No comments:
Post a Comment