Setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Ong Boon Hua atau lebih dikenali sebagai Chin Peng telah beberapa kali memohon untuk pulang ke tanahairnya di Malaysia setelah tamatnya darurat dan perjuangan bersenjatanya di Malaya dan berikutan termeterainya perjanjian letak senjata sewaktu pemerintahan Tun Dr Mahathir yang lalu.
Namun demikian, setelah permohonan demi permohonan, semuanya ditolak oleh kerajaan pusat yang didominasi oleh Umno atas alasan Chin Peng mengancam keselamatan negara, kejam dan sebagainya. Apakah alasan yang sebenarnya menghalang Chin Peng untuk pulang ke kampung halaman di Perak. Chin Peng sekarang berumur di dalam lingkungan 80an dan tidak berdaya lagi untuk melakukan apa-apa yang boleh mempengaruhi sebarang faktor politik di negara kita ini.
Ini jelas cara Umno yang berulangkali menghalang Chin Peng pulang ke negara ini berunsur perkauman. Kenapa pula Pengerusi PKM Rashid Mydin, Ketua Wanita PKM Shamsiah Fakeh dan Pegawai pemerintah Rejimen Melayu Ke-10 PKM, Abdullah CD dibenarkan pulang dengan begitu senang sekali?
Kerana ketiga-tiga mereka ini adalah kaum Melayu dan beragama Islam? Dan Chin Peng adalah seorang Cina dan bukan Islam? Kalau begitu, kita arahkan Chin Peng agar memeluk agama Islam dan kita tengok sama ada Umno akan membenarkan beliau pulang.
Satu lagi faktor adalah peperangan dan kekejaman yang didakwa Umno kononnya PKM adalah sebegini. Setahu kami, sewaktu Perang Dunia Kedua, Empayar Jepun yang menakluki hampir seluruh benua Asia pada masa itu adalah jauh lebih kejam daripada PKM. Kenapa pula Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Rais Yatim memaafkan negara Jepun dan membenarkan mereka memasuki Malaysia untuk melabur?
Faktor yang seterusnya, sewaktu darurat pada 1948-60, Parti Komunis China (PKC) turut membantu PKM dari segi pembekalan senjata, logistik dan kewangan bagi melanjutkan perjuangan mereka. Kenapa pula pada hari ini Umno dan Pemuda Umno mempunyai hubungan yang erat dan intim dengan PKC dan Liga Pemuda Komunis China (CYL)?
Ini semuanya jelas merupakan hipokrasi yang menyeluruh di dalam dasar yang diamalkan oleh kerajaan pusat yang didominasi oleh Umno selama ini. Perkauman adalah agenda yang paling diutamakan oleh Umno selama ini.